SAIRAH (depan, tengah) bersama yang lain pada sidang akhbar itu
KOTA KINABALU: Berita gembira buat penggemar makanan! Festival Makanan Sabah yang julung kali diadakan bakal menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman, daripada hidangan halal kepada tradisional, ekzotik dan barat.
Festival selama empat hari itu dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Homestay Sabah dan Hostastay Berhad di Kampung Kebudayaan Koisaan (KCV) KDCA, pada 13-16 Disember.
Pengurus KCV, Sairah Indan berkata kira-kira 55 gerai menjual makanan dan 30 gerai untuk barangan pre-loved akan disediakan sepanjang acara itu.
“Ia menawarkan peluang kepada penduduk setempat dan rakyat Malaysia dari tempat lain serta pelancong asing untuk makan, menikmati dan belajar mengenai karakter masyarakat majmuk di Sabah dan pelbagai produk pelancongan yang terdiri daripada makanan, kesenian dan kraf serta persembahan kebudayaan,” katanya pada sidang akhbar di KCV, di sini, Khamis.
Pengunjung ke festival itu, katanya, berpeluang merasai hidangan ekzotik dan terkenal pelbagai etnik tempatan seperti Kadazan Dusun, Bajau, Cina dan Brunei, antara lain, sepanjang festival tersebut.
“Selain pameran kulinari serta jualan makanan dan minuman, banyak jenis aktiviti, pameran dan pameran pendidikan turut dirancang untuk pengunjung.
“Gerai-gerai disediakan untuk pengusaha tempatan, tukang dan pembuat kraftangan bagi menonjolkan kemahiran dan bakat mereka, menjual karya mereka selain dapat memberikan maklumat mengenai perkhidmatan yang mereka sediakan.
“Tradisi budaya seperti tarian dan muzik juga akan dipersembahkan sepanjang festival.”
Katanya juga, pengunjung juga boleh mendapatkan banyak maklumat tentang pakej inap desa yang ditawarkan oleh pengendali inap desa di pelbagai lokasi di negeri ini.
“Acara ini turut bertujuan untuk memperkenalkan KCV sebagai destinasi pelancongan kepada orang ramai,” katanya.
Sepanjang festival, Karnival Inap Desa juga akan diadakan selain daripada pelancaran experiencesabah.com – sebuah portal tempahan dalam talian untuk perkhidmatan inap desa tempatan.
Sairah juga merancang untuk mengadakan festival itu setiap tahun dan berharap ia akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negara.
Pelancaran dijadualkan dibuat pada 14 Disember oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Mohamaddin Ketapi manakala penutupan itu akan dirasmikan oleh presiden KDCA Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Gerai dan persembahan akan bermula dari pukul 8 pagi sehingga tengah malam sepanjang festival terbabit dan transaksi perniagaan melalui kupon yang dijual di tempat acara.
(Sumber daripada Daily Express, 15 Disember 2019, Ahad)
Back