OLEH ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Sebuah buku berjudul ‘Warisan Sejarah Kadazandusun’ yang menceritakan tentang lagenda Nunuk Ragang telah dilancarkan oleh Huguan Siou yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, dekat sini, pada Ahad.
Buku hasil penulisan Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Dayu Sansalu itu dianggap suatu karya unggul yang menerangkan secara terperinci asal-usul kaum Kadazandusun.
Buku itu juga menerangkan tentang penghijrahan kelompok terawal bangsa Kadazandusun dari Liwagu ke seluruh pelusuk negeri Sabah serta unsur-unsur sejarah dalam lagenda Nunuk Ragang.
Selain itu, buku Warisan Sejarah Kadazandusun turut memuatkan huraian terhadap pelbagai teori mengenai asal-usul Kadazandusun dari aspek sejarah, ras dan susur galur bahasa yang digunakan oleh penduduk terawal di Sabah itu.
Hasil karya yang dianggap menyeluruh itu juga mengupas pelbagai isu berkaitan etnik Kadazandusun yang juga meliputi sub-etnik Kadazandusun serta pendapat tentang asal-usul nama Kadazan dan Dusun.
Dalam ucapannya, Pairin memuji inisiatif serta usaha dan dedikasi yang diberikan oleh Dr Dayu dalam membuat kajian, seterusnya menghasilkan suatu karya yang sangat berharga dan membanggakan itu.
Beliau turut menyeru agar lebih ramai lagi masyarakat Kadazandusun, terutama sekali golongan muda untuk melibatkan diri dalam penghasilan buku seumpama itu agar warisan kadazandusun tidak pupus ditelan zaman.
Pairin yang juga merupakan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, berkata demikian semasa merasmikan Pesta Moginakan Nunuk Ragang Ke 20 dan Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertabalan Huguan Siou Yang Ke 33 2017 di Tugu Nunuk Ragang Ranau, pada hari Ahad.
Sementara itu, beliau berkata, sempena Pesta Moginakan Nunuk Ragang kali ini, semua pihak berkaitan mesti bertekad untuk membangun Nunuk Ragang sebagai salah satu destinasi pelancongan perdana di daerah Ranau.
“Dalam KDCA kita mempunyai visi untuk membangunkan kawasan warisan Nunuk Ragang sebagai satu lagi Bandar persinggahan ‘One-stop-centre’ di perantaraan Jalan Ranau – Sandakan.
“Bagi tujuan ini, saya cadangkan agar kawasan tugu warisan Nunuk Ragang di sini diilhamkan dengan keunikan dan kepelbagaian suku budaya Kadazandusun supaya pengunjung dapat melihat keunikan warisan kita.
“Kearah itu, saya mengajak semua kita, marilah kita jadikan perayaan tahun ini sebagai ‘annual pilgrimage’ bagi suku kaum Kadazandusun untuk meraikan dan seterusnya mengukuhkan kesatuan kita sebagai satu keluarga besar,” jelas beliau.
Pada majlis itu, Pairin turut menyampaikan Pengurniaan Anugerah Kehormat KDCA 2017 iaitu Anugerah Bulawan Sigah dan juga Anugerah Tindarama kepada 20 individu yang berjasa kepada KCA/KDCA pada tahun ini.
(Sumber daripada New Sabah Times. 9hb Ogos 2017)
Back