KOTA KINABALU: Sambutan Hari Orang Asal Sedunia peringkat negeri kembali untuk tahun kedua pada 9 hingga 10 Ogos ini di Dewan Terbuka Kampung Kebudayaan Koisaan, KDCA di Penampang. |
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata Kerajaan Negeri bersetuju dan akan menyediakan peruntukan untuk sambutan tahun ini. |
Katanya, sambutan itu biasanya disambut pada 9 Ogos setiap tahun, selepas Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak-hak Orang Asal (UNDRIP) ditandatangani oleh 144 negara, termasuk Malaysia pada 13 September 2007. |
“Bagi pihak Kerajaan Sabah, saya mengalu-alukan dan mempelawa semua orang untuk hadir. Sambutan sama diadakan tahun lalu di Kiulu dan ia sangat menggalakkan. |
“Saya berharap sambutan tahun ini lebih meriah dan bermakna sejajar dengan salah satu matlamat UNDRIP iaitu bagi meningkatkan kesedaran sambil menghormati pelbagai hak yang sesuai untuk masyarakat Orang Asal,” katanya kepada media dalam sidang akhbar di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, Isnin. |
Acara itu melibatkan pelbagai demonstrasi dan persembahan etnik, pameran pendidikan dan kesedaran UNDRIP, pameran etnik dan cabutan nama bertuah untuk pengunjung yang menjanjikan hadiah menarik seperti dua ekor kerbau dan pelbagai barangan elektrik. |
Sejumlah 22 kumpulan etnik iaitu KadazanDusun, Lotud, Bisaya, Murut, Tasilung dan lain-lain akan mengambil bahagian dalam acara tersebut. |
Pada 9 Ogos, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Luar Jannie Lasimbang akan merasmikan Malam Kebudayaan Orang Asal Sabah, manakala pada 10 Ogos, Madius berkata beliau akan merasmikan Forum Orang Asal berjudul Isu dan Cabaran. |
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan merasmikan majlis itu pada malam, katanya. Kira-kira 3000 pengunjung dijangka menghadiri acara dua hari itu. |
(Sumber daripada Harian Ekpres, 6hb Ogos 2019, Selasa) |
Back