PENAMPANG: Kampus tetap Kolej Kadazandusun Murut atau KolejKDM dijangka dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jun depan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Beliau berkata, serentak dengan pelancaran itu Perdana Menteri juga akan melakukan upacara pecah tanah kampus tetap kolej berkenaan di Kaingaran, dalam daerah Tambunan.
Berucap pada majlis perasmian persidangan Tri-Tahunan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) di Dewan Hongkod Koisan, di sini kelmarin, Pairin yang juga presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata kabinet Sabah telah bersetuju ‘membantu’ menubuhkan kolej universiti berkenaan.
“Kita bersyukur kerana kerajaan telah meluluskan penubuhan kolej komuniti itu dan tapaknya sudah disediakan di Tambunan. Diharapkan kerajaan negeri atau persekutuan dapat menyediakan peruntukan untuk tujuan ini,” katanya.
Cadangan penubuhan kolej berkenaan dibuat oleh Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun dan Murut Sabah (PEKADIN).
Pairin sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa pegawai Daerah Tambunan telah diarah mengenalpasti lokasi sebenar pembinaan kolej itu.
Beliau sendiri akan membuat tindakan susulan dengan pihak yang berwajib untuk memastikan cadangan penubuhan Kolej KDM ini dapat direalisasikan.
PEKADIN dalam cadangannya akan membantu menyerlahkan peranan masyarakat Kadazandusun dan Murut dalam pendidikan seiring dengan matlamat negara menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.
Persatuan itu berpendapat Kolej KDM yang dicadangkan itu akan menawarkan kursus selaras dengan misi kerajaan mengurangkan kadar pengangguran, selain melengkapkan usaha kerajaan melalui latihan tenaga kerja yang diperlukan.
Rakyat Sabah terutama masyarakat KDM menyambut baik penubuhan kolej itu, selain mencadangkan supaya ia dijadikan kolej minyak dan gas sebagai pelengkap kepada Pusat Latihan Petroleum di Kimanis.
(Sumber daripada New Sabah Times, 12hb Mac 2012)