Siaran Media
Timbalan Ketua Menteri/ Menteri Pembangunan Luar Bandar
25 Februari 2006
RANAU: Anugerah Pelajar Cemerlang Huguan Siou yang mula diperkenalkan oleh Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di daerah ini pada tahun 1997 telah menghasilkan beberapa tenaga profesional termasuk Pensyarah Undang-Undang.Ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah tersebut di sini malam Sabtu (24 Feb), Presiden KDCA Huguan Siou Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata insentif galakan diberikan kepada para pelajar cemerlang di dalam peperiksaan penting untuk mendorong mereka berusaha lebih giat lagi untuk meneruskan pelajaran.
Ranau – PAIRIN menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Huguan Siou di Ranau sambil disaksikan Timbalan Presiden KDCA Dr Othman Minudin.
“Anugerah Pelajar Cemerlang Huguan Siou turut meletakkan sasaran menghasilkan lebih ramai golongan profesional di kalangan anak-anak ahli persatuan agar dapat sama-sama menyumbang terhadap pembangunan masyarakat dan Negara,” kata Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Hirdah @ Hirna bte Azwan yang menjadi penerima pertama anugerah bagi kategori SPM pada tahun 1997 kini adalah Pensyarah Undang-Undang di Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (UTPM), Shah Alam Selangor.
Selepas menerima anugerah, Hirdah dari Kg Marakau diterima memasuki pengajian undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan menamatkan pengajian pada tahun 2004 dengan dua kelulusan ijazah iaitu Sarjana Muda dan Sarjana.
Seramai 15 pelajar cemerlang menerima anugerah pelbagai kategori pada majlis tersebut meliputi UPSR dan PMR. Anugerah bagi kategori SPM dan STPM akan disampaikan berasingan dalam majlis akan datang.
