JAWATANKUASA Badan Penyelaras Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Bahagian Penampang akan berkerjasama dengan RTM Sabah VFM untuk menganjurkan pertandingan mencipta lagu Kadazan.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Benjamin Matanjang berkata, pertandingan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia sama ada kaum Kadazan, Dusun, Melayu, Cina, India dan sebagainya, tetapi liriknya mestilah dalam Bahasa Kadazan.
“Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia, sama ada di Sabah mahupun di semananjung tetapi liriknya mesti dalam Bahasa Kadazan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar, di Bilik Mesyuarat Dewan Malakun, di sini, pada Sabtu.
Benjamin berkata, pertandingan itu diadakan bagi menambah koleksi lagu-lagu Bahasa Kadazan di bahagian siaran Bahasa Kadazan RTM Sabah VFM.
katanya, borang penyertaan boleh diperolehi mulai 1 Mac ini dari jam 8.20 pagi hingga 5.00 petang, di Dewan Malakun, Jalan Lama Penampang dan ibu pejabat KDCA, Penampang. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 15 April jam 5.00 petang.
Tiada yuran penyertaan dan lagu-lagu yang telah dicipta hendaklah dimuatkan dalam cekera padat (CD) dan dikembalikan ke pejabat urusetia, di Dewan Malakun.
Sebanyak 12 lagu terbaik akan dipilih untuk dipertandingkan diperingkat akhir. Tempat pertama akan menerima hadiah wang tunai RM3,000, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000. Kesemua pemenang masing-masing akan menerima sebuah piala dan sijil penyertaan.
Pencipta lirik terbaik akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 , piala dan sijil. Manakala sembilan pencipta lagu yang berjaya ke peringkat akhir, masing-masing akan menerima sagu hati wang tunai RM500.
Pertandingan ini akan diadili oleh tiga juri bertauliah. Barisan Jawatankuasa Penganjur Pertandingan mencipta lagu dalam Bahasa Kadazan ialah Datuk Seri Panglima Dr Clarence Bongkos Malakun (Penasihat), Benjamin Matanjang (Pengerusi), George Mijin (Tim. Pengerusi), Jeoffrey Puvok (Setiausaha), Primus Sisum (Tim. Setiausaha) dan Pius Jaua (Bendahari). Manakala ahli jawatankuasa terdiri daripada Johana J. Lokupi, Maureen S. Inoh, Rita Ahin, Juliana Anderas, Evelyn Ebin dani Ivy Bakansing.
Ketarangan lanjut hubungi Benjamin di talian 0168490565, Jeoffrey Puvok (0195850320), Primus Sisum (0109522568), Maureen S. Inoh dan Rita Ahin di talian 088-713696, 088-713337 (KDCA). -OLEH MARRYAN RAZAN (marryn@newsabahtimes.com.my)
(Sumber dari: sabah times, 1 Febuari 2011)
