KENINGAU: Daerah pedalaman kini telah bersedia untuk menjadi tuan rumah sambutan Rumah Terbuka Pesta Kaamatan Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 16 Jun bermula sebelah petang.
Dianggarkan 20,000 penduduk dari sekitar pedalaman melibatkan Keningau, Sook, Nabawan, Kemabong dan Tambunan dijangka membanjiri sambutan berkenaan di Kompleks Sukan Keningau.
Sambutan Rumah Terbuka Pesta Kaamatan Peringkat Kebangsaan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan diiringi oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Utama Rais Yatim sebagai penganjur, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga merupakan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) dan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.
Pegawai Daerah Keningau, Amat Mohd Yusuf memberitahu segala persiapan untuk acara tersebut telah disusun atur dan persiapan-persiapan akhir sedang giat dijalankan.
Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat kepada Ketua Menteri sempena lawatan Perdana Menteri di kawasan pedalaman selama dua hari bermula Sabtu ini di sini.
Turut memberi taklimat mengenai persiapan ialah Pengarah Kumpulan Yayasan Sabah, Tan Sri Khalil Jamalul, Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Anggor dan wakil Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi Malaysia.
Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun, Wakil Rakyat Sook Datuk Ellron Angin, Wakil Rakyat Melalap Datuk Raden Malleh, Wakil Rakyat Kemabong, Datuk Rubin Balang dan Wakil Rakyat Nabawan Datuk Bobbey Suan.
Lawatan rasmi Perdana Menteri ke pedalaman juga padat dengan beberapa acara rasmi yang bermula dengan Perasmian Pusat Kraftangan Sabah dan Pelancaran Portal Pusat Kraftangan Sabah di Pusat Kraftangan Sabah, Jalan Apin-Apin pada tengah hari Sabtu. Diikuti Majlis Pecah Tanah SDC: Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (CLC) dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di daerah Sook pada jam 3.00 petang. Dianggarkan 10,000 orang akan hadir ke majlis berkenaan.
Manakala di sebelah petangnya, Perdana Menteri akan bersama dengan rakyat di pedalaman meraikan majlis rumah terbuka sempena Pesta Kaamatan Peringkat Kebangsaan dengan diserikan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat setempat dan persembahan artis tempatan.
Amat memberitahu rakyat pedalaman telah bersedia bersama dengan Perdana Menteri dengan anggaran pengunjung sehingga 20,000 orang.
Pagi Ahad, Perdana Menteri akan mengunjungi tamu mingguan Keningau dan mengambil peluang untuk minum bersama dengan rakyat di gerai tamu tersebut.
Perdana Menteri juga dibawa melawat Tamu Mingguan di Pekan Bingkor sebelum melawat Rumah Besar OKK Sedomon di Bingkor, rumah bekas pemimpin tersohor di pedalaman yang pernah dilawati oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussien, yang kebetulan mengadakan Majlis Perhimpunan Keluarga Kina dan Gong.
Lawatan itu merupakan satu penghargaan kepada keluarga berkenaan yang pernah mempunyai hubungan baik dengan mantan Perdana Menteri Malaysia kedua iaitu ayah kepada Perdana Menteri.
Seterusnya beliau akan berlepas ke daerah Tambunan bagi merasmikan Upacara Pecah Tanah Kolej KDM di Pisompuruan Square, yang akan disambut oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Infrastuktur Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Musa berpuas hati dengan persiapan yang dibuat oleh pihak-pihak yang terlibat, dan meminta rakyat di kawasan pedalaman datang beramai-ramai meraikan sambutan itu yang julung kali diadakan di kawasan luar bandar.
(Sumber daripada New Sabah Times 12th June, 2012)
