Anugerah Pelajar Cemerlang Huguan Siou di Kota Belud
Posted on 03. Jul, 2007 by KDCA Web Admin in KDCA Kota Belud, KDCA News
Oleh Henry Bating & Allan Dumbong
KOTA BELUD: Penerima awal Anugerah Pelajar Cemerlang Huguan Siou sejak ianya dimulakan 1995 telah menamatkan pengajian mereka dari universiti-universiti tempatan dan kini memegang peranan dan tanggungjawab penting di dalam pembangunan Negara.
Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Huguan Siou Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata persatuan itu berusaha menggalakkan pencapaian kecemerlangan akademik di kalangan etnik itu bagi menyumbang pencapaian hasrat Kerajaan dan memberikan sokongan moral kepada keluarga pelajar-pelajar berkenaan.
Peluang untuk seluruh rakyat Malaysia menyambung pelajaran sehingga ke peringkat tinggi terbuka luas dan sama rata … kita mahu berusaha agar para pelajar kita turut menikmati peluang itu tanpa ada yang tersisih,” kata Pairin.
Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Huguan Siou Daerah Kota Belud di Dewan Masyarakat Tun Said di sini pada Sabtu (30Jun, 8pm).
Menurut Pairin setakat ini majlis seumpama itu telah dilaksanakan oleh KDCA Daerah Ranau, Kota Marudu, Matunggong, Tambunan dan Kota Belud. Pairin turut menyebut bahawa penerima awal anugerah itu dari Ranau telah menamatkan pengajian peringkat Master Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan kini menjadi pensyarah di Kuala Lumpur.
Manakala penerima awal anugerah itu dari Kota Marudu telah menamatkan pengajian bidang sains di Universiti Malaysia Sabah (UMS) beberapa tahun lalu dan kini bekerja di sektor awam.
Sempena majlis itu, seramai 23 pelajar terpilih menerima anugerah itu di atas pencapaian cemerlang mereka di dalam peperiksaan 2006. Para penerima itu terdiri daripada 15 pelajar cemerlang UPSR yang masing-masing mendapat 5A, PMR (6 pelajar, 7A), SPM seorang 7A, 2B, 1C dan STPM seorang 5A.
Dua daripada penerima anugerah tersebut turut dianugerahkan sebagai Pelajar Harapan iaitu Assie Zaee Petrus (UPSR) yang kini belajar di SMK Narinang dan Abdul Zulfiqar Abdul Hamid (STPM) yang kini menuntut di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak.
Mengiringi Pairin menyampaikan anugerah ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian, Herbert Timbon Lagadan, Pengerusi Penyelaras KDCA Kota Belud Peter Marajin dan Pengerusi Penganjur James Muyau.
Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk James Vitales, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Jahid Jahim, Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah Datuk Louis Rampas, Adun Inanam Johnny Goh dan Penolong Pegawai Daerah Hamdan Hj. Sarudin.


