07:07:07 Pesta Nunuk Ragang
Posted on 03. Jul, 2007 by KDCA Web Admin in Activities, KDCA News, KDCA Ranau.
Oleh Henry Bating & Allan Dumbong
RANAU: Pelbagai persiapan sudah disusun untuk menyambut kehadiran orang ramai termasuk pelancong asing sempena Pesta Nunuk Ragang Kali Ke-12 pada 7 Julai depan.
Ketika meninjau persiapan, Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Huguan Siou Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan diberikan taklimat mengenai beberapa tarikan yang turut dianjurkan sempena pesta itu.
Pada tahun ini, kita mula menggunakan nama “Pesta Nunuk Ragang” agar ianya selari dengan usaha Kerajaan mempromosi pelancongan di negeri ini,” demikian Pairin diberitahu oleh Pengerusi Penganjur, Dr. Othman Minudin.
Menurut Dr. Othman yang juga Timbalan Presiden KDCA, Pesta Nunuk Ragang seperti pada tahun-tahun yang sudah juga diadakan bersamaan dengan Ulang Tahun Pertabalan Huguan Siou Ke-II yang pada tahun ini memasuki Tahun Ke-23.
Kata Dr. Othman, “Datuk Masidi Manjun dijadualkan berucap sebagai Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar, manakala Datuk Ewon Ebin dijadualkan berucap sebagai wakil rakyat Kawasan Paginatan di mana Tugu Nunuk Ragang itu terletak”.
Pesta Nunuk Ragang yang telah dimasukkan di dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sabah, pada tahun ini turut menampilkan program lasak yang dikenali sebagai “Nunuk Ragang Adventure Challenge” atau “Cabaran Kembara Nunuk Ragang” yang diadakan pada 6 Julai.
Cabaran berkumpulan dua orang berumur 18 tahun ke atas itu melibatkan acara lasak berlari dan berbasikal sejauh 8km dan berakit di Sungai Liwogu Kawananan sejauh 5km sehingga ke Tugu Nunuk Ragang.
Orkestra Koisaan, sebuah orkestra yang dianggotai para graduan muzik etnik Kadazandusun turut mengalu-alukan hadirin dengan persembahan mereka yang berasaskan tradisi dan persembahan universal
Sementara itu, Dr. Othman turut memaklumkan bahawa di Sungai Liwogu Kogibangan masih terdapat akar pokok Ara yang asal, yang oleh masyarakat Kadazandusun disebut “Nunuk”.
“Akar Pokok Ara itu oleh sebahagian penduduk kampung pernah dicuba untuk mencabutnya secara beramai-ramai tanpa upacara khusus dan dikatakan orang-orang yang terlibat mengalami rasa sakit pada waktu malamnya … kita mahu memperindahkan lokasi akar itu untuk dikunjungi oleh orang ramai,” kata Dr. Othman.
Masyarakat Kadazandusun percaya bahawa mereka pada mulanya berasal dari Nunuk Ragang sebelum menyebar ke seluruh pelusuk Negeri Sabah.


