Majukan Cendawan Shitake: Huguan Siou
Posted on 10. May, 2007 by KDCA Web Admin in KDCA News
Huguan Siou Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan mengajak para petani di sini agar meningkatkan penanaman “Cendawan Shitake” kerana ianya mempunyai permintaan yang tinggi dan dapat menjanjikan sumber pendapatan lumayan kepada para pengusaha.
Menurut Pairin, selain mengusahakan tanaman tradisi seperti padi, para petani juga perlu menambahkan usaha dengan memberi tumpuan kepada tanaman yang memiliki pasaran tersedia dengan tawaran harga yang tinggi.
“Memang para petani di sini (Tambunan) ada juga mengusahakan tanaman cendawan shitake, namun kita perlu memastikan berapakah kemampuan pengeluaran kita … pada waktu yang sama kita perlu mendapat maklumat dari pasaran berapakah jumlah pengeluaran yang diperlukan,” kata Pairin.
Pairin yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Peringkat Negeri 2007 berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tambunan di Pisompuruan Square pagi ini (5Mei, 11am).
Terdahulu, Pairin bersama para tetamu khas mengunjungi gerai-gerai yang mempamerkan pelbagai hasil pertanian, penternakan dan pembuatan termasuk pameran dan jualan cendawan shitake.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Dr Yee Moh Chai, Datuk James Vitales, Jornah Mozihim, Jahid Jahim, Datuk Louis Rampas, Johnny Goh, Ahli Parlimen Pensiangan Bernard Maraat dan Datuk Verus Aman Sham yang mewakili syarikat Jepun di Kuala Lumpur yang menjalankan perniagaan berasaskan cendawan shitake.
Sementara itu Pairin turut mengajak semua pihak agar menjalankan usaha bersama mengumpul, menyimpan dan memperkenalkan pelbagai unsur warisan tradisi seperti yang ditonjolkan di dalam Pesta Kaamatan kerana ianya merupakan sebahagian daripada kekayaan yang perlu dihidupkan untuk membantu memperkembangkan industri pelancongan.

Photo Caption:
shitake1 – Huguan Siou memperlihatkan salah satu bungkusan cendawan shitake yang ada dalam pameran untuk dijual


