28 Mei 2010, Jumaat
KOTA KINABALU: Golongan wanita mempunyai peranan dan tanggungjawab yang penting dalam sistem masyarakat Kadazandusun sejak zaman dahulu sehinggalah hari ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan. Huguan Siou berkata, pada zaman dahulu wanita mempunyai kedudukan yang istimewa dalam susun lapis masyarakat Kadazandusun dan telah memegang peranan yang penting seperti ‘bobolian’.
Selain menjalankan tanggungjawab sebagai isteri, golongan wanita tertentu diberikan peranan sebagai ‘bobolian’ bagi menjalan pelbagai ritual dan antaranya adalah ‘Magavau’ sempena sambutan Pesta Kaamatan sebagai ucapan tanda syukur kepada ‘Konoingan’. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sodop Pintutunan yang diadakan di Hotel Imperial, dekat sini, semalam. Turut hadir Konsul Jeneral Jepun, Kazuyoshi Yamaguchi, Konsul Jeneral Indonesia, Bapa Soepeno Sahid, Timbalan Presiden KDCA, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Richard Bainun dan Setiausaha Agung KDCA, Encik Suman Yasambun.
Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah (KDCA) menjelaskan, pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan yang menjadi sebagai acara terpenting dan paling mendapat perhatian dalam sambutan mana peringkat perayaan Pesta Kaamatan adalah sebagai simbolik kepada pemilihan lagenda Huminodun.
Menurut Lagenda Kadazandusun yang disampaikan secara lisan sejak turun-temurun menceritakan tentang pengorbanan seorang gadis yang bernama Huminodun dalam menyelamatkan kaum Kadazandusun daripada mati kebuluran dan melalui tubuh beliau yang dikorbankan itu tumbuh pelbagai tanaman makanan seperti padi.
Justeru, sambutan perayaan diadakan setiap tahun bagi menyatakan kesyukuran kepada Kinoingan dan dalam masa yang asam memuja semangat ‘bambarayon’ yang memberikan hasil kepada hasil tanaman khususnya padi. Sementara itu, seramai 41 Unduk Ngadau mewakili daerah dan daerah kecil dari seluruh Negeri Sabah, termasuk perserta dari Klang Valley dan Wilayah Persekutuan Labuan telah mendaftarkan diri semalam.
Pertandingan akhir Unduk Ngadau Kaamatan peringkat negeri akan diadakan pada 31 Mei, bertempat di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang yang akan disempurnakan oleh Yang Amat Berbahagia Toh Puan Hajah Dayang Masuyah Binti Awang Japar.
Tamat.
Disediakan Oleh:
Francis Au
Setiausaha Akhbar Kepada
Timbalan Ketua Menteri / Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah
