KHAZANAH WARISAN KADAZANDUSUN SEMAKIN DIANCAM KEPUPUSAN, KATA PAIRIN
Posted on 03. Jun, 2010 by KDCA Web Admin in Press.
28 Mei 2010, Jumaat
TAMBUNAN: Khazanah kebudayaan dan warisan Kadazandusun mungkin akan diancam kepupusan di masa akan datang sekiranya tiada usaha dilakukan untuk memelihara dan memulihara kebudayaan ini termasuklah ketiadaan rekod berkualiti.
Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Sabah (KDCA) yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, Ketiadaan rekod ini menimbulkan kekuathiran bahawa dalam sedikit demi sedikit banyak warisan kesenian dan kebudayaan masyarakat Kadazandusun lenyap ditelan masa dan akhirnya akan hilang begitu sahaja jika tiada usaha dilakukan untuk memelihara dan memulihara khazanah ini.
Pairin yang menyampaikan ucapan dalam dielek Dusun-Tambunan berkata, tugas ini tidak harus diletakkan kepada Kerajaan melalui Jabatan Muzium mahupun Lembaga Kebudayaan semara-mata dalam usaha mengekalkan dan memperturunkan kebudayaan dan warisan masyarakat Kadazandusun .
Sebagai pemunya kepada bangsa dan warisan ini, tanggungjawab ini haruslah dipikul bersama dan mana-mana pihak yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkenaan kebudayaan dan kesenian suku kaum etnik Kadazandusun haruslah mengambil langkah untuk membuat dokumentasi sama ada dalam bentuk bertulis, audio ataupun visual untuk tatapan generasi akan datang.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan perayaan Pesta Kaamatan peringkat Kampung Karanaan, Tambunan yang diadakandi Balairaya Kampung Karanaan, pagi tadi. Turut hadir Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Welfredoline Jakil, Timbalan Presiden KDCA, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Pemimpin Kemajuan Rakyat,
Laiwon Dalus, Penolong Pegawai Daerah Pentadbiran, Salahudin Tahir dan Pengerusi JKKK Kampung Karanaan, David Suman Kassin.
Sempena sambutan perayaan Pesta Kaamatan ini merupakan ruang dan peluang yang harus dipergunakan sepenuhnya untuk mengatur pelbagai aktiviti yang menjurus kepada menyemai semangat cintakan warisan dan kebudayaan. Katanya, aktiviti yang dianjurkan tidak hanya tertumpu kepada acara berbentuk hiburan semata-mata tetapi program-program kebudayaan dan keseniaan haruslah diperbanyakkan dan haruslah melibatkan lebih banyak golongan muda kerana mereka adalah penyambung warisan.
Pertandingan seperti magagong, manangon, tari-tarian tradisi dan sebagainya perlu diperbanyakkan kerana sudah ramai diantara generasi muda hari ini sudah tidak pandai bermain alatan muzik tradisonal, dan termasuklah juga ramai diantara mereka yang tidak fasih berbahasa ibunda Kadazandusun.
Tamat.


