24 Mei 2010, Isnin
RANAU: Daerah Ranau amat bertuah kerana mempunyai keistimewaan yang tidak dimiliki oleh daerah lain. Gunung kinabalu yang terkenal dengan pemandangannya yang merupakan tapak warisan dunia dan kolam air panas di poring merupakan daya penarik utama kepada pelancong tidak kira pelancong dari dalam atau luar negara.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, Mengikut rekod Taman-Taman Sabah, pengunjung ke Kinabalu Park Kundasang telah meningkat daripada 172,856 pada tahun 2002 kepada 252,254 pada tahun 2009 dan di taman Kolam Air Panas Poring pula daripada 202,998 pada tahun 2002 kepada 278,300 pada tahun 2009.
Jumlah pelancong ke daerah ini dijangka akan terus meningkat kerana daerah ini mempunyai banyak kawasan pelancongan yang begitu menarik untuk dilawati seperti Taman Negara Kinabalu, Taman Kolam Air Panas Poring, Tugu Peringatan Kundasang, Tugu Peringatan Nunuk Ragang, Tagal Ikan Kg. Luanti Baru dan Laluan Perjalanan Maut (Death March Trail).
Saya yakin ramai lagi yang tidak dapat direkodkan. Sekiranya bilangan sebenar dapat dikumpulkan maka sudah tentu ia akan menunjukkan bahawa peningkatan kedatangan pelancong ke daerah ini adalah amat menggalakkan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan perayaan Pesta Kaamatan peringkat daerah Ranau tahun 2010 yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau, dekat sini, kelmarin.
Turut hadir Datuk Dr. Ewon Ebin, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar, Datuk Siringan Gubat, Ahli Parlimen Kawasan Ranau, Dr Joachim Gunsalam, Adun Kundasang, Haji Faimin Kamin, Pegawai Daerah Ranau, Dr. Othman Minudin Naib Presiden KDCA.
Menyedari akan hakikat di atas, saya menyarankan supaya para penduduk di daerah ini dapat mencari jalan atau ikhtiar untuk memanfaatkan peluang-peluang yang timbul akibat kemungkinan pertambahan jumlah pelancong ke daerah Ranau.
Penduduk tempatan boleh mempraktikkan program Inap Desa atau Homestay yang sedang giat digalakkan oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bersama Kementerian Pelancongan Malaysia.
Program ini menggalakkan para pelancong tinggal bersama kita seberapa lama yang mereka mahu dengan hanya perlu membayar sewa rumah termasuk belanja makan yang minima. Saya difahamkan bahawa cara penginapan seperti ini amat digemari oleh pelancong-pelancong luar terutamanya pelancong dari Eropah yang ingin meikmati suasana tinggal di Kampung.
Disamping itu, kita juga boleh meningkatkan pengeluaran kraftangan yang unik di daerah ini. Sehubungan dengan itu, saya meminta pihak KEMAS daerah dan pihak pengurusan kraftangan di Kampung Matan, Ranau serta jabatan-jabatan yang berkenaan supaya terus berusaha melatih lebih ramai orang untuk menjadi pembuat kraftangan yang mahir.
Saya juga ingin menekankan bahawa kraftangan yang bakal dihasilkan nanti mestilah mempunyai kualiti dan menarik perhatian para pelancong untuk membelinya. Kalau boleh, kraftangan itu biarlah berdaya tahan, berkualiti dan mungkin juga tidak terlalu besar untuk memudahkan pelancong membawa kraftangan tersebut.
Sebagai tambahan kepada program berkenaan, kita juga boleh menghidupkan semula persembahan atau tarian kebudayaan tempatan. Dalam hal ini, saya berharap agar pihak pejabat kebudayaan belia dan sukan Ranau akan mengambil peranan yang penting dalam menghidupkan semula budaya-budaya tempatan yang hampir pupus kerana telah diabaikan oleh masyarakat kita.
Pihak badan-badan Kebudayaan dan badan-badan belia haruslah berusaha untuk mendapatkan dan mencungkil budaya di setiap mukim, kampung di daerah ini. Dengan menghidupkan semula budaya kita, kita bukan sahaja dapat memastikan budaya kita terus di minati dan diguna pakai oleh generasi muda malah ia juga boleh digunakan sebagai daya penarik para pelancong dan sekaligus membuka peluang pekerjaan untuk belia-beliawanis kita.
Dalam pada itu, mantan Menteri Kerja Raya Malaysia, Tan Sri Abdul Ghani Gilong yang berasal dari Kampung Lingkudau, Ranau menerima Anugerah Luguan Kaamatan (Tokoh Kaamatan) daripada pemimping Agung Kadazandusun, Huguan Siou Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan sempena perayaan Pesta Kaamatan peringkat daerah Ranau.
Tamat.
Disediakan Oleh: Francis Au Setiausaha Akhbar Kepada Timbalan Ketua Menteri / Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah