PESTA KAAMATAN PERAYAAN TERPENTING NEGARA UNTUK SATUKAN RAKYAT
Posted on 03. Jun, 2010 by KDCA Web Admin in Press.
24 Mei 2010, Isnin
KUALA PENYU: Pesta Kaamatan merupakan antara enam pesta rakyat Malaysia yang telah diisytiharkan Kerajaan Persekutuan sebagai perayaan negara sekaligus menempatkan kaum Kadazandusun sebagai komponen terpenting dalam masyarakat majmuk negara ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, keharmonian kaum yang kita kecapi sekarang ini, khususnya di negeri ini terus terus dipelihara dan Pesta Kaamatan merupakan perayaan yang menjadi landasan kukuh untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Kerajaan Negeri telah sekian lama mengiktiraf perayaan ini sebagai perayaan rasmi negeri Sabah dan menyedari akan kebaikkan ini, kerajaan persekutuan turut mengiktiraf sekaligus mengangkat perayaan ini sebagai perayaan kebangsaan.
Perayaan Pesta Kaamatan merupakan kebudayaan Kadazandusun untuk menyatakan rasa kesyukuran yang diraikan pada setiap tahun. Namun pada hari ini, Pesta Kaamatan turut dirayakan oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan perayaan Pesta Kaamatan pringkat daerah Kuala Penyu yang diadakan di Dewan Datuk Syahbandar Makang, dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir Datuk Seri Panglima Dr Lajim Haji Ukin, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik John Teo Mao Sing, Adun Kuala Penyu, Datuk Wences Anggang, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah, Sebastian Dirih Anjim, Pengerusi Penyelaras KDCA Kuala Penyu dan Encik Edmund Teo, selaku Pegawai Daerah Kuala Penyu merangkap pengerusi jawatankuasa perayaan Pesta Kaamatan peringkat daerah Kuala Penyu tahun 2010.
Ini menunjukkan bahawa sebenarnya masyarakat kita di negeri sabah mempunyai perpaduan yang kuat dan persefahaman yang kukuh. Perpaduan dan persefahaman ini perlu kita pupuk dan pelihara kerana ianya adalah merupakan kekuatan kita yang perlu kita semai dan tunjukkan dalam apa jua perkara dan program yang kita adakan di negeri ini.
Perayaan Pesta Kaamatan ini bukan sahaja penjaga kepada heharmonian kaum di negeri ini tetapi juga menjadi aset berharga kepada industri pelancongan di negeri ini amnya dan di daerah khasnya, sebagai tambahan kepada produk pelancongan yang ada di daerah masing-masing.
Justeru itu katanya, masyarakat setempat perlu meyokong sambutan perayaan Pesta Kaamatan di peringkat daerah masing-masing untuk mempertunjukkan keunikan kebudayaan suku kaum di daerah berkenaan.
Tamat.
Disediakan Oleh: Francis Au Setiausaha Akhbar Kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah / Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah

