14 Mei 2010, Jumaat
MATUNGGONG: Perayaan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Kecil Matunggong agak berbeza dengan sambutan perayaan di tempat lain yang menampilkan keunikan suku kaum Rungus yang amat terkenal dengan kebudayaan mereka yang asli dan tidak ditelan zaman.
Pakaian tradisional mereka adalah hasil tenunan tangan mereka sendiri yang diperbuat menggunakan kapas daripada buah pokok kapok dengan latar belakang kain hitam sarat dengan manik-manik yang direkacipta sendiri dipakai oleh wanita Rungus sungguh indah dipandang.
Manakala, kaum lelaki Rungus pula berpakaian tradisi dilengkapi dengan sandai atau sopilang (kain panjang dipakai bersilang), hokos (tali pinggang kain yang biasanya berwarna merah,hijau dan kuning), sigar (tengkolok) dan baduh (baju atau kain sarung).
Mereka mempersembahkan tarian Sumundai Mongigol iaitu tarian suku kaum Rungus ditarikan oleh seorang lelaki dan beberapa orang perempuan. Tarian yang dinamakan Sumundai-Mongigol ini diiringi dengan paluan gong dan apabila lelaki dan perempuan sama-sama menari, ia dipanggil “miandak” dalam bahasa Rungus.
Kaum Rungus adalah yang paling lambat menerima adaptasi pengaruh luar menjadikan kaum ini begitu unik sekali. Kejayaan masyarakat ini dalam mengekalkan identiti dan kebudayaan mereka dalam zaman yang serba moden ini wajar diberikan pujian, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan. Berucap di majlis perasmian perayaan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Kecil Matunggong yang diadakan di Perkarangan Tamu Matunggong, kelmarin, berliau berkata, keunikan suku kaum ini telah meletakkan kaum ini begitu terkenal di mata dunia sekaligus meletakkan daerah Matunggong ini sebagai salah satu destinasi pelancongan etno-tourism yang begitu terkenal di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa.
Kemampuan suku kaum Rungus dalam mengekalkan kebudayaan dan identiti menjadikan kaum mereka unik sekaligus yang menjadi produk pelancongan di negeri ini yang cukup terkenal malahan menjadi khazanah negara yang cukup berharga. Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun itu berkata, kaum Rungus perlu berbangga di atas kejayaan ini dan saya mahu agar identiti dan kebudayaan suku kaum Rungus terus dikekalkan dan usaha-usaha perlu dilakukan agar khazanah ini turut diwarisi oleh generasi muda.
Kaum Rungus, bukan sahaja terkenal dengan kekayaan warisan seni dan kebudayaan tetapi juga kreativiti hasil tangan mereka yang sungguh cantik seperti gubahan manik, rinago dan sebagainya. Keunikan budaya, cara hidup dan adat resam suku kaum Rungus masih boleh dilihat di Rumah Panjang Rungus yang dipamerkan bersempena perayaan Pesta Kaamatan ini.
Dalam pada itu, Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur menjelaskan, tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan infrastruktur di Matunggong tidak pernah diabaikan dan banyak projek pembangunan di daerah ini yang telah dan sedang dilaksanakan. Pairin turut mengumumkan pembinaan sebuah Dewan dan Perpustakaan di Pekan Matunggong yang dijangka akan dimulakan pembinaannya pada tahun ini juga. Pembangunan yang pesat di Daerah Kecil Matunggong ini adalah hasil sokongan rakyat dan keprihatinan kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya masyarakat Rungus di sini agar seiring dengan pembangunan negara.
Turut hadir Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ir. Edward Yong Oui Fah, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Herbert Timbon Lagadan, ADUN Kawasan Kundasang, Dr. Joachim Gunsalam, ADUN Kawasan Tandek, Anita Baranting, ADUN Kawasan Matunggong, Sarapin Magana, Pegawai Daerah Kudat, Sebastian Lim, Pegawai Daerah Kota Marudu, Lovita Koisun dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong, Arnold Joibi.
Tamat.
Disediakan Oleh: Francis Au Setiausaha Akhbar Kepada Timbalan Ketua Menteri / Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah