PRODUK PELANCONGAN PERLU CAPAI PIAWAIAN MINIMA, KATA PAIRIN
Posted on 03. Jun, 2010 by KDCA Web Admin in Press
28 April 2010, Rabu
TAMBUNAN: Produk pelancongan seperti kraftangan, makanan dan minuman tradisi perlu mencapai piawaian minimum bagi memastikan produk berkenaan mampu menarik pelancong. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, kualiti produk berasaskan pelancongan seperti hasil kraftangan, makanan dan minuman tradisi yang menjadi tarikan sempena perayaan Pesya Kaamatan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa. Kraftangan seperti alatan muzik ‘sompoton’ seringkali dibeli oleh pengunjung untuk dijadikan cenderamata yang dibawa balik ke negara mereka, bagaimanapun, produk ini tidak dapat bertahan lama kerana ianya tidak dirawat terlebih dahulu.
Buat masa ini belum ada teknologi yang digunakan bagi merawat produk-produk kraftangan ini untuk tujuan mengawet kraftangan ini agar ianya dapat bertahan lama dan rata-ratanya semua produk yang dijual kepada pelancong asing tidak dirawat. Beliau berkata demikian ketika merasmikan perayaan Pesta Kaamatan peringkat Mukim Nambayan yang diadakan di Balairaya Kampung Mangkatai, dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir Setiausaha Politik Kementerian Pembangunan Infrastruktur, Welfredoline Jakil, Pegawai Daerah Tambunan, Thomas Angor, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Mathew S Gumpil, Jurutera JKR Daerah, Petrocelli Joseph, Jurutera JPS, Jaffri Bahan, Timbalan Presiden KDCA, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Pengerusi Perhubungan KDCA Tambunan, Daniel Kinsik, Pemimpin Kemajuan Rakyat, Laiwon Dalus, Ketua Daerah OKK Augustine Badi Kandawai dan Pengerusi Penganjur bersama, Marius Odong dan Edwin Danis.
Selain itu katanya, makanan dan minuman tradisi serta buah-buahan tempatan semakin dilupakan kerana hari ini kita lebih suka kepada makanan import seperti apple, orange dan anggur kerana banyak dipengaruhi oleh iklan di televisyen. Daripada kajian mendapati, buah-buah tempatan seperti ‘lampun’ atau lebih dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai durian belanda (soursop) mempunyai khasiat yang tinggi dipercayai mampu melawan penyakit kanser. Begitu juga dengan tanaman makanan yang mempunyai nilai perubatan yang tinggi yang menjadi penawar pelbagai penyakit secara turun-temurun juga semakin dilupakan kerana kita terlalu banyak bergantung kepada ubat-ubatan moden yang dijual di farmasi mahupun yang diberikan oleh pihak hospital.
Produk tempatan yang mempunyai permintaan tinggi adalah produk makanan ‘tuhau’ yang seringkali menjadi hidangan pembuka selera bukan sahaja di kalangan penduduk tempatan tetapi juga kepada masyarakat luar. Bersempena dengan tahun Inovasi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, kita mahu agar kajian akan lebih banyak ditumpukan untuk memastikan segala produk tempatan mampu memberikan manfaat bukan sahaja dari segi nilai komersil tetapi juga mempunyai nilai kesihatan.
Justeru, Pairin meminta kepakaran daripada pihak MOSTI dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk membuat kajian bagaimana untuk merawat produk kraftangan kita agar bleh bertahan lama. Begitu juga dengan buah-buah tempatan kita, selain mengkaji nutrisi dan khasiat yang terkandung, industri hiliran berasaskan buah-buah dan makanan tempatan perlu diperbanyakkan untuk tujuan pasaran tempatan mahupun tujuan eksport.
Tamat..
Disediakan oleh:-
Francis Au
Setiausaha Akhbar
Kepada Timbalan Ketua Menteri / Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah


