Rumah Tradisi di KK Jadi Tarikan Pelancong
Posted on 24. May, 2009 by KDCA Web Admin in Press
Rumah Tradisi yang dibina ditengah-tengah bandaraya Kota Kinabalu sempena sambutan Karnival Kaamatan Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu menjadi antara tarikan utama para pelancong yang mengunjungi ibu negeri.
Biasanya rumah tradisi itu hanya dilihat di kawasan luar bandar atau di kampung-kampung di negeri ini.
Namun dengan inisiatif DBKK yang sentiasa menonjolkan kelainan untuk merayakan Pesta Kaamatan, replika rumah tradisi itu dibina di kawasan pusat bandar untuk tatapan ramai terutama pelancong, sekaligus menjadi produk pelancongan negeri.
Sebenarnya, objektif pembinaan Rumah Tradisi itu ialah memberi peluang kepada penduduk di sekitar bandaraya melihat sendiri keunikan rekabentuk rumah tradisi yang merupakan lambing kehidupan tradisi yang asli dan primitif yang berpaksi kepada alam semula jadi.
Ia juga dikatakan amat bersesuaian untuk dikunjungi pelancong yang menginginkan pengalaman budaya secara langsung dengan penduduk Sabah yang masih mengamalkan cara hidup sedemikian.
Rumah tradisi serta konsep hiasan yang digunakan itu direka khas bagi menghidupkan suasana sambutan kaamatan di kalangan penduduk bandar.
Ini kerana biasanya, suasana sambutan Pesta Kaamatan hanya hangat dirasakan di kawasan kampung atau pekan di luar bandar.
Oleh itu diharapkan pembinaan struktur rumah ini dapat menghidupkan semangat kaum Bumiputera Sabah untuk sama-sama bergembira dengan ketibaan pesta menuai yang disambut sepanjang bulan Mei.
Seni bina dan struktur Rumah Tradisi amat menarik. Ia dibina mengikut rekabentuk rumah panjang suku kaum Rungus yang disebut ‘vinatang’ dalam bahasa Rungus dan menjadi satu kebanggaan kepada masyarakat itu.
Hiasan yang digunakan adalah berkonsepkan ala kampung. Antara bahan yang digunakan ialah daun silad, ingkun, buluh, buah pinang, patung orang-orang, telinting, sirung dan tengkorak. Manakala landskap lembut seperti padi, pokok pisang serta tanaman hijau lain yang biasa dilihat di kawasan hutan turut dimasukkan.
Bahan-bahan yang digunakan untuk membina rumah tradisi ini adalah hasil hutan seperti buluh, rotan, kayu spesies vitex spp., kayu spesies syzigium spp., daun nipah, serta kayu papan/plywood untuk ruang acara. Rumah tradisi ini dibina dengan teliti dan akan dikekalkan sehingga 31 Ogos ini.
Panjang rumah tradisi ini adalah 60 kaki dan lebar kira-kira 20 kaki. Rumah panjang tradisional kaum Rungus yang sebenar, lazimnya sepanjang 300 kaki panjang dan dibina di kawasan tanah tinggi.
Sebuah menara tinjau dibina di salah satu bahagian hujung rumah tradisi ini. Ia merupakan model kepada menara tinjau sebenar yang berfungsi sebagai pusat pemerhati atau pemantauan sawah padi milik penduduk rumah panjang.
Sawah padi biasanya ditanam berdekatan rumah dan tali yang mengikat orang-orang untuk menghalau burung akan dihubungkan dengan menara tersebut. Selain itu, menara tinjau juga berfungsi sebagai tempat paluan gong di rumah ketua kampung, untuk memberitahu penduduk kampung jika terdapat bahaya yang mengancam mereka.
Ruang di dalam rumah tradisi ini dibahagikan kepada lapan ruang atau lot-lot kecil dengan bahagian tengah dijadikan seperti tempat laluan tetamu. Bagi rumah panjang tradisional yang sebenar, setiap lot kecil ini mewakili sebuah rumah untuk satu keluarga dan ruang di bahagian tengah digunakan untuk lalu-lintas, melakukan kerja harian serta untuk upacara-upacara tradisi mereka.
Bahagian hujung yang lain di rumah tradisi ini dijadikan seperti anjung rumah. Di rumah panjang kaum Rungus, ia berfungsi sebagai ruang untuk upacara-upacara keraian atau tempat beristirehat. Untuk rumah tradisi yang dibina di bandaraya, ruang anjung ini akan menjadi lokasi pentas persembahan sepanjang tempoh pelancaran karnival kaamatan.
Pelbagai acara telah disusun sempena Karmival Kaamatan Peringkat Bandaraya, antaranya tarian tradisional, nyanyian, jualan dan pameran kraftangan Sabah yang akan diadakan sehingga 31 Ogos ini. Acara-acara lain yang diadakan di Jalan Gaya Street ialah bazaar Kaamatan.
Semua orang dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan lagi majlis sambutan Karnival Kaamatan Peringkat Bandaraya Tahun 2009 ini.
Source: New Sabah Times, 21st May, 2009


