Anugerah Pelajar Cemerlang Huguan Siou
Posted on 27. Feb, 2006 by KDCA Web Admin in KDCA News
Siaran Media
Timbalan Ketua Menteri/ Menteri Pembangunan Luar Bandar
25 Februari 2006
RANAU: Anugerah Pelajar Cemerlang Huguan Siou yang mula diperkenalkan oleh Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di daerah ini pada tahun 1997 telah menghasilkan beberapa tenaga profesional termasuk Pensyarah Undang-Undang.Ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah tersebut di sini malam Sabtu (24 Feb), Presiden KDCA Huguan Siou Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata insentif galakan diberikan kepada para pelajar cemerlang di dalam peperiksaan penting untuk mendorong mereka berusaha lebih giat lagi untuk meneruskan pelajaran.
Ranau – PAIRIN menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Huguan Siou di Ranau sambil disaksikan Timbalan Presiden KDCA Dr Othman Minudin.
“Anugerah Pelajar Cemerlang Huguan Siou turut meletakkan sasaran menghasilkan lebih ramai golongan profesional di kalangan anak-anak ahli persatuan agar dapat sama-sama menyumbang terhadap pembangunan masyarakat dan Negara,” kata Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Hirdah @ Hirna bte Azwan yang menjadi penerima pertama anugerah bagi kategori SPM pada tahun 1997 kini adalah Pensyarah Undang-Undang di Universiti Teknologi dan Pengurusan Malaysia (UTPM), Shah Alam Selangor.
Selepas menerima anugerah, Hirdah dari Kg Marakau diterima memasuki pengajian undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan menamatkan pengajian pada tahun 2004 dengan dua kelulusan ijazah iaitu Sarjana Muda dan Sarjana.
Seramai 15 pelajar cemerlang menerima anugerah pelbagai kategori pada majlis tersebut meliputi UPSR dan PMR. Anugerah bagi kategori SPM dan STPM akan disampaikan berasingan dalam majlis akan datang.
“Motivasi hanya tercapai jika kita mampu menggerakkan jiwa dan minda kita sendiri ke arah keinginan yang kuat untuk mencapai kejayaan. Dalam dunia yang semakin canggih sekarang, para pelajar menghadapi berbagai-bagai cabaran semasa berada di alam persekolahan.
“Jika tidak ada bimbingan diberikan, tentu sekali akan menyebabkan para pelajar leka dan sekaligus berhadapan dengan risiko kehilangan minat untuk belajar. Justeru, seminar seumpama ini sangat diperlukan agar semua pihak tetap mengutamakan kepentingan ilmu,” kata Pairin.Pairin seterusnya mengajak para ibubapa agar tidak mengabaikan kepentingan ilmu di dalam kehidupan kerana semakin maju kehidupan, semakin tinggi pula keperluan terhadap ilmu, dan sekolah merupakan satu-satunya tempat terbaik untuk anak-anak menuntut ilmu yang secukupnya.
Pada majlis itu Pairin menyampaikan insentif kepada dua pelajar cemerlang UPSR yang mendapat keputusan 5A bagi peperiksaan 2005, iaitu Daryl V. Nestor dan Memarshall M. Ongkudon.
Tambunan – PAIRIN menyampaikan Anugerah Cemerlang UPSR St Theresa kepada Daryl sambil diperhatikan Pengerusi PIBG Nestor Joannes.


