FHILIX DON DAN RUFENA EUSIBIUS GEGARKAN KAAMATAN LABUAN 16 MEI 2009.
Posted on 12. May, 2009 by Allan Dumbong in KDCA News, Kaamatan.
|
Sambutan Pesta Kaamatan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun ini bakal berlangsung di Dewan SJK© Chi Wen pada hari Sabtu ini, 16hb Mei 2009 bermula jam 9 pagi. Dengan bertemakan “Bersama Membentuk Masa Depan yang Lebih Baik”, sambutan tahun ini bakal menyaksikan pelbagai program menarik yang disusun atur oleh Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Labuan. Antara acara yang bakal dipertontonkan kepada orang ramai pada hari tersebut ialah acara pertandingan nyanyian atau lebih dikenali sebagai Sugandoi Kaamatan. Sugandoi Kaamatan peringkat Labuan pada tahun ini menyaksikan 9 orang peserta bakal berentap di pertandingan akhir pada 16hb Mei ini. Sebagai rekod, Labuan akan menghantar wakil peserta sugandoi ke pertandingan akhir Sugandoi peringkat negeri Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 23hb Mei depan di Hongkod Koisaan. Acara wajib dan merupakan acara kemuncak sambutan pesta Kaamatan setiap tahun, Unduk Ngadau juga dijangka akan menjadi tumpuan pada perayaan itu nanti. Seperti juga Sugandoi, Labuan juga bakal menghantar wakil dalam pertandingan akhir Unduk Ngadau peringkat negeri pada 31hb Mei yang juga akan diadakan di Hongkod Koisaan, Penampang. Acara lain pula adalah seperti persembahan magagung, persembahan drama tari Huminodun oleh Kumpulan Kebudayaan Era Budaya dari Kg.Titimboungon Papar, pertandingan masakan dan minuman tradisi, pameran kraftangan serta produk-produk pelancongan oleh Pusat Penerangan Pelancongan Labuan dan macam-macam lagi. Bagi memeriahkan suasana, pihak penganjur mengambil inisiatif dengan menjemput pengacara radio Sabah VFM siaran Kadazan, Juliana Andreas. Beliau bakal mengacarakan majlis sambutan Pesta Kaamatan peringkat Labuan. Begitu juga dengan persembahan artis-artis tempatan seperti Fhilix Don, Apiang Sausun dan Rufena Eusibius, yang dijemput khas oleh pihak penganjur untuk menghiburkan para peminat mereka yang berada di Labuan. “Kami akan cuba untuk menghiburkan anda semua dengan persembahan terbaik kami, kerana saya percaya ramai peminat seni hiburan tempatan yang tidak sabar-sabar lagi menantikan persembahan kami secara lebih dekat lagi.” Ujar Fhilix Don, yang sememangnya lagu-lagu nyanyian beliau digemari ramai di Labuan. Juara Pertandingan Lagu Paling Popular 2008 anjuran Sabah VFM siaran bahasa Kadazan, Rufena Eusibius pula berkata, beliau amat teruja untuk datang membuat persembahan di Labuan, apatah lagi semasa suasana perayaan sambutan Kaamatan. Sesi bertemu peminat akan diadakan secara tidak langsung pada 15hb Mei bertempat di Dewan Chi Wen semasa raptai penuh diadakan. Bagi anda yang berada di pulau Labuan dan di Tanah Besar Sabah, bolehlah datang beramai-ramai ke Dewan Chi Wen Labuan pada hari Sabtu ini bagi menyaksikan persembahan artis-artis kesayangan anda dan seterusnya memeriahkan lagi suasana Kaamatan khasnya di Labuan. Source: Ronney Ajim; Posted By: Allan Dumbong |


