Aktiviti tuai padi libatkan pelancong, Unduk Ngadau dicadang dalam perayaan Kaamatan
10 Jan 2014

KOTA KINABALU: Aktiviti mengetam atau menuai padi melibatkan pelancong dan Unduk Ngadau merupakan antara tarikan baharu yang dicadang bagi memeriahkan Perayaan Tadau Kaamatan Peringkat Negeri pada tahun ini.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, aktiviti mengetam padi melibatkan pelancong itu dicadangkan kerana ia bersesuaian dengan program Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Beliau berkata, aktiviti seumpama itu dapat menekankan kepentingan dalam soal penanaman padi untuk kegunaan makanan harian dan menyumbang terhadap ekonomi negeri Sabah.

?Selain itu kita mengingatkan semua Jawatankuasa Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah di negeri ini supaya mencari bahan-bahan baharu termasuk kraftangan yang belum ditonjolkan di daerah masing-masing untuk ditonjolkan sebagai program baru Pesta Kaamatan tahun ini,? katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Induk Perayaan Tadau Kaamatan, di Dewan Mesyuarat Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR), di sini, kelmarin.

Pairin berkata, bagi melicinkan pelaksanaan sambutan Tadau Kaamatan pada tahun ini sebanyak 16 Jawatankuasa telah dibentuk termasuk mewujudkan Jawatankuasa International Hospitality bersesuaian dengan TMM 2014.

Katanya tema Pesta Kaamatan pada tahun ini ialah ?Culture: Foundation of Peace and Friendship?, ?Kebudayaan: Asas Keamanan dan Persahabatan? atau dalam bahasa Kadazandusun ?Koubasanan: Koimpoon do Piunungan om Piombolutan?.

?Tema ini adalah bersesuaian dengan keadaan sekarang dan kepentingan untuk semua rakyat memahami antara satu sama lain. Ini kerana kebudayaan adalah satu daripada aspek kehidpuan yang begitu baik dan berguna untuk memupuk semangat perpaduan, persahabatan dan persaudaraan.

?Sekaligus kita tekankan keperluan untuk terus bersama-sama mewujudkan suasana harmoni, persahabatan dan keamanan dalam kontaks 1Malaysia,? katanya.

Pairin berkata, pelancaran Pesta Kaamatan peringkat Negeri tahun ini akan diadakan di Kota Marudu pada 1 Mei yang dijangka dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Selain itu katanya daerah-daerah lain yang telah menetapkan tarikh pelancaran Pesta Kaamatan peringkat daerah ialah Kuala Penyu dan Tenom pada 10 Mei ini, Tambunan (17 Mei), Keningau dan Kota Belud masing-masing pada 18 Mei.

?Perayaan Tadau Kaamatan peringkat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan diadakan selama tiga hari bermula 15 Mei iaitu hari perasmian dan aktiviti akan diteruskan sehingga 17 Mei.

?Daerah-daerah lain akan menetapkan tarikh sambutan Pesta Kaamatan selepas mereka mengadakan mesyuarat,? katanya.

Sehubungan itu Pairin berharap seluruh rakyat di negeri ini terus memberikan sokongan terhadap semua program Pesta Kaamatan yang akan diadakan sepanjang bulan Mei.

(Sumber ?New Sabah Times,?10th January, 2014)