Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) cawangan Wilayah Persekutuan Labuan akan menganjurkan? Pesta Kaamatannya pada 8hb Mei 2011 bersamaan hari Ahad, bertempat di Dewan Serbaguna Blessed Sacrament, berdekatan SRK St.Anne Labuan.
Buat julung kalinya, sambutan yang akan bermula seawal jam 9 pagi itu dijangka akan dirasmikan oleh Presiden KDCA sendiri, Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah. Dijangka turut hadir sama ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof? Mahal.
Pengerusi Pengelola, Puan Herin Lumpisau ?berkata pesta kaamatan tahun ini adalah lebih unik berbanding tahun sebelumnya, kerana sambutan kali ini akan menampilkan persembahan tarian dan muzik dalam kalangan masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) di Labuan sendiri dan bukannya menggunakan khidmat kumpulan kebudayaan luar dari Labuan seperti tahun-tahun sebelumnya.
?Selain persembahan kebudayaan dari pelbagai suku kaum etnik Kadazandusun dan Murut, termasuk muzik bambu tradisi, terdapat juga pertandingan Unduk Ngadau yang merupakan acara kemuncak setiap kali pesta kaamatan dianjurkan yang mana Labuan juga akan menghantar wakil ke peringkat negeri Sabah pada 30-31hb Mei di Dewan Hongkod Koisaan Penampang nanti. Selain itu, KDCA Labuan juga akan menghantar wakil mereka dalam pertandingan Sugandoi peringkat negeri nanti." Kata Herin.
Kehadiran artis Francis Landong? yang telah menjuarai pertandingan Juara Lagu Dusun 2010 anjuran Sabah VFM baru-baru ini, dijangka dapat menarik kehadiran orang ramai terutama bagi mereka yang meminati? artis tempatan popular itu. Turut menyerikan sambutan pesta kaamatan Labuan ialah artis Murut dari Labuan yang popular dengan lagu Natunggal Pilat Lair, Apiang Sausun, artis baru Ambrose James selain penampilan khas artis veteran Justin Stimol.
Tambah Herin lagi, acara Hari Keluarga dan Sukan Tradisi KDCA Labuan pula akan diadakan pada 30hb April ini bertempat di Pantai Mawila berdekatan dengan Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Orang ramai terutama mereka yang bermastautin di Labuan sendiri dan juga tanah besar Sabah, Sarawak dan negara jiran Brunei Darussalam dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan peringkat Wilayah Persekutuan Labuan pada 8hb Mei 2011 nanti.
(Sumber daripada Didiroy)