Ucapan YB. Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, JP. Timbalan Ketua Menteri/ Menteri Pemb. Luar Bandar Sabah/ Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) sempena Majlis Pecah Tanah Cadangan Sekolah Jenis Kebangsaan Kadazandusun Sabah, Kg. Tiong Monggis, Tenghilan, 14 Mei 2007, 10.00 pagi.
Selamat pagi, salam hormat dan salam sejahtera, (Salutation) 1. Pertama sekali, puji dan syukur saya panjatkan kepada Tuhan Yang Maha Kuasa kerana dengan izin dan restuNya jualah, kita dapat berkumpul bersama-sama di Kg. Tiong Monggis, Tenghilan pada pagi ini. 2. Seterusnya saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana telah bertungkus-lumus untuk mempersiapkan majlis yang penuh bermakna ini. 3. Sesungguhnya, pertemuan kita di Kg. Tiong Monggis, Tenghilan pada hari ini, merupakan sejarah permulaan kepada langkah pertama untuk merintis satu perjalanan panjang, perjalanan yang masih jauh dan penuh cabaran. 4. Kita berkumpul pada hari ini, demi untuk memulakan satu tugas penting, ke arah pencapaian satu impian bersama. Sejak sekian lama, kita telah mengimpikan saluran yang paling berkesan untuk mewariskan bahasa ibunda, tradisi dan identiti budaya kita kepada anak-anak. Maka pada hari ini, kita mahu menyempurnakan saluran itu, tapak asas untuk mewujudkan sebuah lagi sekolah bercorak baru di Malaysia, iaitu ?Sekolah Jenis Kebangsaan Kadazandusun Sabah?.
5. Di sekolah seumpama ini, kita mahu meletakkan harapan yang nyata, harapan untuk menurunkan secara sistematik dan terancang nilai-nilai murni warisan kita, iaitu bahasa ibunda, tradisi dan identiti budaya kepada generasi-generasi kita yang akan datang. Kita mahu merealisasikan harapan ini, demi untuk mengatasi kebimbangan yang melanda masyarakat kita dewsa ini, iaitu kerisauan akan pupusnya bahasa ibunda, tradisi dan budaya oleh sebab peredaran zaman.
6. Kita perlu meletakkan tekad dan komitmen untuk memastikan harapan ini dapat direalisasikan. Contoh-contoh yang berlaku di sekeliling kita memberikan keyakinan bahawa kita akan mampu merealisasikan harapan ini. Kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di negara ini telah membuktikan bahawa warisan bahasa ibunda, keunikan tradisi, serta budaya mereka dapat terus hidup subur tanpa mengalami sebarang kebimbangan untuk pupus. 7. Fenomena yang berlaku di dalam masyarakat Kadazandusun pada masa ini, memang tidak dapat dinafikan. Masyarakat Kadazandusun pada umumnya sedang berhadapan dengan satu kebimbangan. Bahawa mereka bimbang bahasa ibunda mereka tidak akan mampu bertahan sampai ke beberapa generas lagi. Ini disebabkan persekitaran untuk terus mempelajari dan mengamalkan bahasa ibunda semakin sempit. 8. Justeru, kita hadir bersama-sama di Kg. Tiong Monggis pada hari ini, untuk memberikan reaksi terhadap kebimbangan itu. Saya yakin, kita akan dapat bekerjasama di antara satu sama lain, untuk sama-sama berusaha meletakkan Bahasa Kadazandusun, di tempat yang selesa untuk dipelajari dan di tempat yang subur untuk berkembang. Sampai pada suatu masa nanti, masyarakat kita tidak lagi berhadapan dengan kebimbangan akan pupusnya bahasa ibunda mereka tanpa penyambung. 9. Bagaimanapun, perjalanan baru bermula, usaha baru dirintis. Begitupun, masyarakat Kadazandusun pada hakikatnya telah membina asas-asas sebagai bekalan kepada perjalanan yang masih jauh ini. Pelbagai usaha telah dilakukan terhadap pembinaan Bahasa Kadazandsun, sejak kira-kira 20 tahun yang lalu. 10. Seminar-seminar, bengkel-bengkel, pertandingan-pertandingan dan pengkajian-pengkajian telah pernah dibuat. Ianya dilakukan para aktivis budaya dan penggiat Bahasa Kadazandusun, dengan melibatkan badan-badan bukan Kerajaan (NGO), dan malah pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. 11. Walaupun usaha-usaha itu kelihatannya masih belum mencukupi, namun kita amat berterima kasih kepada pihak-pihak yang pernah terlibat dengan usaha-usaha seumpama itu. Masih banyak usaha yang perlu dibuat untuk menjadikan Bahasa Kadazandusun sebagai sebuah bahasa yang siap sedia untuk diajarkan, yang memiliki Tata Bahasa, sumber-sumber rujukan serta panduan-panduan penuturan dan penulisan. Maka dengan itu, kita amat mengalu-alukan agar lebih banyak usaha dapat dilakukan untuk memenuhi kekurangan-kekurangan itu selepas ini. Saudara dan saudari yang dihormati sekalian, 12. Menyentuh tentang majlis pecah tanah pada hari ini, kita akan berusaha untuk menyampaikan kepada kepimpinan Kerajaan agar tanah seluas 10 ekar, yang dicadangkan sebagai tapak pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Kadazandusun yang pertama ini dapat diluluskan. 13. Kita juga akan berusaha agar kemudahan-kemudahan asas seperti jalan yang sempurna, bekalan air dan elektrik dapat dilaksanakan di tempat ini. Dengan adanya kelengkapan-kelengkapan asas seperti itu, kita berharap tempat ini mampu menarik kehadiran lebih ramai pelajar untuk mendukung kewujudan misi sekolah ini. 14. Saya yakin, kewujudan kemudahan dan kelengkapan yang baik, bukan saja mampu menarik kemasukan pelajar dari kawasan setempat, tetapi juga pelajar-pelajar dari kawasan-kawasan luar. Tentu sekali, daya tarik yang paling penting ialah kewujudan tenaga pengajar yang terlatih, amanah terhadap misi sekolah dan pembelajaran yang mesra terhadap semua golongan. 15. Majlis Pecah Tanah Cadangan Sekolah Jenis Kebangsaan Kadazandusun yang kita lakukan pada hari ini merupakan hasil sokongan pelbagai pihak. Ini termasuklah sokongan yang disalurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau United Nations (UN). 16. Saya difahamkan bahawa usaha memulakan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Kadazandusun ini, dikendalikan melalui tabung ?Korea Food for The Hungry International?. Negara Korea Selatan merupakan salah satu daripada kira-kira 60 buah negara yang mengendalikan tabung seumpama itu di bawah panji-panji PBB. 17. Bagi pihak Kerajaan dan masyarakat Kadazandusun seluruhnya, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak PBB, terutama sekali kepada Negara Korea Selatan di atas komitmen mereka untuk menyalurkan dana. 18. Selepas upacara pecah tanah pada hari ini, adalah menjadi harapan kita semua agar pembangunan fizikal dapat dimulakan dengan serta-merta. Pada waktu yang sama, kita juga berharap agar persiapan mengenai dengan pelaksanaan kurikulum dapat dilakukan. 19. Di dalam menyusun kurikulum, saya menyeru kepada semua pihak yang berkaitan, seperti jabatan-jabatan serta agensi-agensi Kerajaan dan badan-badan bukan Kerajaan (NGO), agar dapat menghulurkan kerjasama kepada Jawatankuasa Perancang Kurikulum Sekolah Jenis Kebangsaan Kadazandusun. 20. Melalui kerjasama untuk saling menyumbang kepakaran, saya pasti sebuah kurikulum Jenis Kebangsaan Kadazandusun, yang berteraskan kepada Falsafah Pendidikan Negara akan dapat disusun dengan sempurna. Langkah ini sudah pasti akan memberikan kita keyakinan bahawa proses penerimaan Kurikulum Sekolah Jenis Kebangsaan Kadazandusun akan mendapat persetujuan secepatnya daripada Kerajaan Persekutuan. 21. Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat Kadazandusun agar memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha mewujudkan Sekolah Jenis Kebangsaan Kadazandusun yang pertama seumpama ini pernah dimulakan. Sokongan itu boleh diberikan melalui penyertaan mereka di dalam pembangunan sekolah yang akan didirikan, mendorong anak-anak mengambil mata pelajaran Bahasa Kadazandusun serta menyokong segala program yang berbentuk kempen berbahasa Kadazandusun. 22. Sokongan padu masyarakat Kadazandusun di dalam usaha ini sudah tentu akan dapat membantu Kerajaan mempercepatkan proses penerimaan sekolah perintis Jenis Kebangsaan Kadazandusun di negara ini. Kita mahu segala usaha yang kita lakukan dapat berjalan lancar kerana usaha seperti ini sudah lama ditunggu-tunggu oleh masyarakat kita. 23. Sebelum mengundur diri, sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat menjayakan program pecah tanah pada hari ini, lebih-lebih lagi kepada pihak dari Negara Korea kerana dengan memberikan komitmen awal terhadap penyaluran tabung, maka ianya telah memberikan laluan terhadap majlis ini. 24. Maka dengan kata-kata demikian, dengan penuh harapan yang tinggi, saya dengan ini mengisytiharkan Majlis Pecah Tanah Cadangan Sekolah Jenis Kebangsaan Kadazandusun dilancarkan dengan rasminya.Sekian, terima kasih dan selamat maju jaya.